12 SEPT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencapai kesepakatan untuk membentuk satu sekretariat yang terdiri daripada 10 wakil parti-parti politik terlibat.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ini bagi memantapkan operasi bersama semua parti yang berkenaan.
“BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk Gabungan Rakyat Sabah atau GRS. Kita sepakat mewujudkan satu sekretariat penyelarasan antara parti-parti GRS.
“Terdiri daripada 10 orang yang akan memantapkan semua operasi bersama. Radu tetap radu,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau sebentar tadi.
Annuar sebelum itu hadir memberi sokongan kepada calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak di Dewan Tun Said hari ini.
Pagi ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan GRS yang melibatkan kerjasama blok PN, BN dan juga Parti Bersatu Sabah (PBS).
Sementara itu, Salleh ketika ditemui pemberita berkata, kempen kali ini perlu dilaksanakan secara matang dengan menerangkan hala tuju kepada rakyat setempat.
“Kita mahu membuat mengubah pucuk pimpinan negeri di Sabah supaya Barisan Nasional (BN) dapat mengambil alih dan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan.
“Sabah tidak boleh lagi terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya.
Salleh berdepan persaingan tiga penjuru menentang Abdul Bakrin Mohd Yusof daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Datu Mohd Nazaruddin Datu Tigabelas yang mewakili Parti Cinta Sabah (PCS).