12 SEPT: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berdepan pertandingan empat penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bekas menteri luar itu dicabar penyandang kerusi DUN Bongawan, Dr Daud Yusof dari Parti Warisan Sabah (Warisan) selain Ag Syairin Ag Bakar dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd Azree Abd Ghani dari Parti Liberal Demokratik (LDP).
DUN itu mempunyai 16,735 pengundi.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Daud memperoleh 6,912 undi menewaskan calon BN Datuk Mohamad Alamin (6,117 undi) dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail (627 undi).
Sesuatu yang menarik di DUN berkenaan apabila tiga daripada empat calon di kerusi itu mempunyai hubungan kekeluargaan.
Mereka ialah Ag Syairin, Dr Daud dan Mohd Azree dan ketiga-tiganya merupakan sepupu.
Pegawai Pilihan Raya DUN Bongawan, Bakri Sudin mengumumkan senarai calon yang bertanding pada 10.30 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Sri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan, di sini, ditutup.
Daud ketika ditemui berkata, beliau mempunyai pertalian keluarga dengan dua calon yang bertanding iaitu Mohd Azree dan Ag Syairin.
“Ketiga-tiga kami ada kaitan kekeluargaan dan anak jati Bongawan. Mohd Azree sepupu manakala Ag Syairin juga sepupu saya.
“Namun dalam PRN ini, janganlah sesekali menyuarakan hal peribadi tapi kita mahu hala tuju apa yang kita mahu lakukan untuk Bongawan,” katanya.