13 SEPT: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan usul Pakej Rangsangan Ekonomi Johor berjumlah RM174.5 juta dengan 54 inisiatif.
Perkara itu dikongsikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam laman Facebook beliau.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir memberitahu, sidang turut meluluskan pelantikan Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Raya, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri.
Empat usul lain yang diluluskan adalah pemilihan Ahli Dewan Negara, tambahan Perbelanjaan Pembangunan Pertama Tahun 2020 sebanyak RM18,801,000, Rang Undang-Undang, Enakmen Perbekalan Tambahan 2020 sebanyak RM8,623,000 dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan (No.2) Tahun 2020 sebanyak RM8,997,000.
“Saya berharap semua usul yang telah diluluskan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat negeri Johor,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN