13 SEPT: Calon Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Yakubah Khan bertekad akan melakukan yang terbaik untuk membantu penduduk miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai khususnya Kampung Boronuon apabila beliau dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berasa simpati dengan kehidupan penduduk di Kampung Boronuon yang masih terhimpit dengan masalah kemiskinan dan tinggal di kediaman yang sudah uzur.
Berikutan itu, Yakubah berazam dan berjanji untuk melakukan yang terbaik bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di kawasan DUN Karambunai.
“Daripada tinjauan kita dapat melihat di kawasan ini di kampung khususnya rakyat sangat memerlukan pembelaan. Di mana ada warga di kampung ini yang tidak sihat, uzur yang sangat memerlukan bantuan dari segi kewangan mahupun pembelaan nasib.
“Keadaan rumah kelihatan agak uzur perlu dibaik pulih jadi saya berharap kepada penduduk kampung ini beri peluang kepada saya dan BN menang insyallah kita akan usahakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah di kampung itu, hari ini.
Pada PRN kali ini Yakubah akan ditentang oleh lima calon lain termasuk Nerudan Ludah (Parti Gagasan Rakyat Sarawak), Ibrahim Linggam dari Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ahmad Jais Otong (Parti Warisan Sabah), Datuk Marajoh Unding (Parti Liberal Demokratik) dan seorang calon wanita dari Parti Cinta Sabah iaitu Dayangku Ayesha Humaira Abangku Othman Shah.
Dalam pada itu, Yakubah yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata, dirinya tidak asing di situ dan pengundi cukup mengenalinya sebagai calon BN.
“Saya tidak asing di kampung ini sebab sering keluar masuk di sini kebetulan kubu kuat UMNO di sini,” ujarnya. – Oleh HAIKA KHAZI