14 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 763 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebahagian besar daripada jumlah tersebut iaitu 608 orang terlibat dalam aktiviti pub atau kelab malam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan, seramai 746 individu telah dikompaun manakala 17 orang direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang lain termasuk gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (6), penjarakan fizikal (63), tidak memakai pelitup muka (22), parti peribadi (27), premis beroperasi lebih masa (1), premis beroperasi tanpa lesen (1), perjudian sabung ayam (10), disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian (12), ingkar perintah PKPD (12) dan lain-lain aktiviti (1),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Berhubung Operasi Benteng, beliau memberitahu, sebanyak 71 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga tekong dan seorang penyeludup diberkas semalam.
Ismail Sabri menambah, daripada jumlah itu, di Padang Mulud, Bandar Penawar, Johor, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 10 PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Sebanyak 79 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (57 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10 SJR) dan ATM (12 SJR).
Selain itu, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 1,649 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,640 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala sembilan premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN