14 SEPT: Kementerian Wilayah Persekutuan mencadangkan penggubalan undang-undang baharu bagi memastikan pengurusan sumber bekalan air di Wilayah Persekutuan dikendalikan sendiri oleh kementerian tersebut.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, strategi jangka panjang ini akan dilaksanakan selepas tamatnya perjanjian bersama syarikat konsensi pada tahun 2034 bagi memastikan bekalan air bersih di Kuala Lumpur dan Putrajaya sentiasa terjamin.
Menurut beliau, kementerian juga bercadang untuk melaksanakan penggunaan sepenuhnya sumber sedia ada seperti tasik, sungai, lombong, dan juga air bawah tanah di samping penggunaan teknologi baharu bagi meningkatkan kualiti air seterusnya mampu dijadikan sumber bekalan air alternatif.
“Perundangan yang ada pada masa ini iaitu Akta Air 1920 (Akta 418) dan ini adalah akta pra merdeka yang begitu lama dan tidak relevan untuk dikuatkuasakan kerana tidak menyeluruh dari segi tafsiran, pengurusan mahupun penguatkuasaan.
“Oleh demikian, Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai merangka satu strategi jangka panjang, kita telah bercadang menggubal satu Rang Undang-Undang untuk memastikan sumber air di Wilayah Persekutuan dikendalikan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.
Masalah gangguan bekalan air yang sering terjadi antaranya akibat pencemaran seperti yang berlaku baru-baru ini menjadi keluhan jutaan pengguna di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Santhara memberitahu pihaknya juga sedang mengkaji kemungkinan untuk mewujudkan sistem pembekalan air sendiri di samping menawarkan sumber air tersebut kepada pihak konsensi yang baharu atau yang sedia ada.
“Dengan pertambahan penggunaan air di Kuala Lumpur maka mustahil untuk inisiatif baharu ini memenuhi keperluan, maka konsensi sedia ada seperti Air Selangor akan kita pantau dan digunakan pada masa sama untuk mengelakkan berlakunya pemotongan 100 peratus (bekalan air) di Kuala Lumpur.
“Maka insiatif ini akan membantu untuk memastikan kita mempunyai ‘back up plan’ atau sumber baharu yang boleh digunakan semula.”katanya. Oleh-AIMAN SADIQ ABDULLAH.