14 SEPT: Kertas siasatan pencemaran sumber air di Sungai Gong minggu lalu yang menjejaskan jutaan pengguna di Lembah Klang apabila empat loji rawatan air ditutup telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, minggu lalu untuk tindakan lanjut.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, siasatan kes pencemaran itu dikendalikan secara bersama oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Dalam siasatan, beliau berkata, JAS dan SPAN mengambil kira peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membolehkan pengurusan tertinggi syarikat yang mencemar diseret ke muka pengadilan.
“Merujuk kepada Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain daripada syarikat yang dituduh, Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus atau lain-lain yang seumpamanya boleh juga dituduh atas kesalahan yang dilakukan bawah akta ini.
“Perkara ini telah dan sedang dilaksanakan dalam kes-kes jenayah alam sekitar yang dipertuduhkan di mahkamah,” katanya pada sidang media hari ini.
Awal bulan ini, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang membabitkan 1.2 juta akaun mengalami gangguan bekalan air, berikutan pencemaran sumber air di Sungai Gong.
Ini ekoran pencemaran minyak dari kilang mengakibatkan beberapa loji dihenti tugas.
Susulan kejadian itu, enam orang termasuk empat pengurus kilang dan dua pekerja turut direman bagi membantu siasatan.