14 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah COVID-19 yang ditetapkan untuk calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah serta jentera kempen.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata laporan pemantauan yang diterima pihaknya setakat mendapati suasana terkawal dengan baik.
“Pasukan pemantau turun padang bagi meninjau keadaan dan mendapati semua pihak terbabit mengikut SOP ditetapkan.
“Belum ada laporan pelanggaran SOP diterima, maka kita merumuskan pematuhan berada pada tahap 100 peratus. Saya puji, orang Sabah memang bagus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
SPR memperkenalkan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 yang dilaksanakan dengan ketat sepanjang tempoh PRN Sabah.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, dilaporkan berkata, sebanyak 73 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) SPR akan memantau semua aktiviti calon ketika berkempen termasuk pematuhan terhadap garis panduan khas ini.
Lonjakan kes positif COVID-19 di Sabah terutama Kluster Benteng LD yang dilaporkan bermula di lokap polis di Lahad Datu sebelum merebak ke penjara, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Ia ditambah dengan pergerakan di seluruh pelosok negeri membabitkan kempen PRN yang rancak berlangsung.