14 SEPT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat Melaka hari ini meluangkan masa meninjau pusat perniagaan kraf, makanan tradisional dan cenderamata tumpuan pelancong, Pahlawan Walk, di Bandar Hilir.
Perdana Menteri tiba kira-kira 1 tengah hari sejurus selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sebuah hotel berhampiran.
Dalam kunjungan kira-kira 30 minit itu, Muhyiddin turut mengambil peluang bertanya khabar dengan peniaga pusat perniagaan tersebut selain beramah mesra dengan beberapa pengunjung.
Muhyiddin yang diiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali turut dilihat membeli makanan tradisi Melaka di sebuah gerai jualan yang terletak di situ.
Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat MTEN yang turut disertai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ini merupakan kunjungan pertama Muhyiddin ke Melaka sejak menjadi perdana menteri pada 1 Mac lepas.
Selain Pahlawan Walk, Muhyiddin turut dijadualkan mengadakan lawatan ke Kilang Infineon petang ini.