14 SEPT: Tindakan pihak tertentu menggunakan serangan peribadi ketika berkempen didakwa bertujuan mengalih tumpuan rakyat Sabah terhadap isu sebenar iaitu kegagalan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam banyak perkara.
Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Datuk Mohamad Alamin berkata, mereka seolah-olah terhimpit ke dinding apabila rakyat Sabah mula mempersoalkan satu demi satu prestasi kerajaan Warisan ketika mentadbir kerajaan negeri.
Menurut beliau, rakyat turut membandingkan dengan kerajaan terdahulu di bawah BN yang mempunyai prestasi jauh lebih cemerlang berbanding Warisan.
‘’Itu ertinya mereka terdesak. Kita berpolitik ini haruslah matang…kita ‘attack’ (serang) soal kepimpinan tidak mengapa… soal dasar parti tidak mengapa… ’attack’ parti pun tidak mengapa tetapi jika ‘attack’ peribadi itu sudah ‘desperate’ (terdesak). Tidak ada dalam dunia ini seorang yang ‘perfect’ (sempurna). Kalau kita nak ‘attack’ peribadi pun boleh tetapi kita tidak mahu kerana itu tidak mencerminkan politik matang.
‘’Kita ‘attack’ kepimpinan. Nampaknya Warisan ini tidak ada isulah. Mereka berdepan dengan pelbagai isu bagaimana mereka mentadbir negeri Sabah gagal, mentadbir ekonomi gagal, membela nasib rakyat gagal, pendidikan gagal… jadi mereka ini sudah terhimpit ke dinding… umpamanya begitu. Jadi tidak tahu nak cakap apa kerana kritikan-kritikan rakyat netizen itu berasas dan betul,’’ katanya seperti dipetik daripada laporan UMNO-Online, hari ini.
Ahli Parlimen Kimanis itu memberitahu, peluang yang ada hari ini terbentang luas di depan rakyat khususnya pengundi untuk melakukan perubahan dengan menolak Warisan dan sekutunya
Sehubungan itu, Mohamad menegaskan, rakyat Sabah mesti ‘membuang’ Warisan yang dikatakan tidak bertanggungjawab dan gagal sepenuhnya.
Beliau turut kesal dengan dakwaan pihak lawan yang menuduh UMNO sebagai parti perkauman sedangkan parti itu dan BN membela rakyat tidak mengira bangsa, agama dan budaya di Sabah.
‘’Di Kimanis umpamanya kita ramai berbilang kaum. Brunei ada sini, Dusun, Kadazan ada di sini dan sebagainya lagi semuanya dijaga dengan baik. Bagaimana kalau mereka tuduh UMNO ini rasis?’’ jelasnya.