14 SEPT: Malaysia berpendirian bahawa sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian di Laut China Selatan harus ditangani secara diplomatik menerusi dialog dan jalan perundingan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar menegaskan, Laut China Selatan perlu kekal sebagai laluan perairan keamanan dan perdagangan.
Menurut beliau, sebarang permasalahan membabitkan perairan berkenaan perlu diselesaikan berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
“Dalam mempertahankan hak kedualatan dan kepentingan negara, kerajaan Malaysia harus bersikap berhati-hati dalam mengelakan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingi di kawasan perairan negara.
“Kehadiran dan jumlah kapal perang di satu kawasan maritime seperti laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan dan mengancam keselamatan negara. Dalam hal ini kerjaan ambil pendirian bahawa semua negara perlu kurangkan kapal perang mereka di laut China Selatan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara, hari ini.
Kamarudin menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk T Mohan yang menyatakan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam membendung pencerobohan berterusan Tentera Laut dan Agensi Penguat kuasa Maritim China ke kawasan perairan Malaysia.
Dalam pada itu, Malaysia juga mengambil pendekatan melakukan rundingan secara diplomasi dengan negara-negara lain bagi memastikan keamanan dan kestabilan serta mengelakkan ketegangan berlaku di perairan Laut China Selatan.
Tambahnya, negara-negara ASEAN dan China kini sedang dalam usaha agar Kod Tatalaku (COC) dimuktamadkan lebih cepat di Laut China Selatan bagi mengelakkan terjadinya konflink antara satu sama lain.
“Negara-negara anggota ASEAN dan China menandatangani DOC (Deklarasi tentang Perilaku Para Pihak di Laut) pada pada 4 November 2002, satu dokumen asas bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.
“Jadi dengan ringkasnya dalam laksanakan COC, Malaysia akan sentiasa yakin bahawa DOC yang dimuktamadkan kelak akan jadi berkesan dalam memastikan hak kedaulatan kekal terpelihara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH