14 SEPT: Biarpun pernah bergelar artis popular, namun ia bukan penghalang kepada Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, isteri kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, turun padang bagi mengikuti suaminya berkempen ke seluruh Sabah.
Malah, kehadiran Zizie ketika menemani Bung Moktar seolah menjadi penarik apabila beliau sentiasa mencuri tumpuan orang ramai dan pengundi yang mahu merakam gambar bersamanya.
Menurut Zizie ketika ditemui menegaskan, beliau tidak kekok bertemu rakyat ketika menemani Bung Moktar berkempen tanpa mengira kawasan.
Malah katanya, sama ada panas terik atau hujan, beliau tidak kekok berdepan sebarang situasi kerana sudah biasa berdikari sebagai anak seni.
Selain itu, katanya, dengan latar belakang sebagai individu yang bukan berasal dari keluarga senang, ini membantu beliau mendekati pengundi.
“Saya memang dari kecil biasa berdikari dan kerja saya sebagai pelakon dulu pun memang menutut saya berpanas dan bertemu orang ramai sama seperti wakil rakyat atau orang politik.
“Kami artis memang diminati dan biasa bertemu orang ramai serta peminat yang mahu bergambar sudah berpuluh tahun jadi tiada isu kekok untuk bergaul dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kempen BN ketika menemani Bung Moktar berkempen di sekitar Sandakan hari ini.
Berikutan itu tidak hairan jika ke mana sahaja Zizie pergi pasti ada sahaja penduduk dan peminat merapatinya untuk meminta kebenaran untuk berswa foto untuk dijadikan kenangan. -Oleh HAIKA KHAZI