15 SEPT: Para pekebun kecil di negara ini digalakkan memohon Insentif Pengeluaran Getah (IPG) membantu meringankan beban mereka dalam situasi kejatuhan harga getah di pasaran dunia.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, harga komoditi tersebut rendah berikutan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China serta penularan COVID-19.
“Yang terbaharu, kita telah memperkenalkan aplikasi RRIMniaga bagi memudahkan pekebun kecil untuk mendapat IPG tanpa perlu hadir ke pejabat untuk membuat permohonan insentif tersebut secara manual.
“Kita juga melaksanakan mekanisma penetapan harga di ladang dan pemerkasaan peranan koperasi sebagai pembeli getah. Menerusi cara ini, lapisan orang tengah dapat dikurangkan dan dapat meningkatkan harga pembelian getah di peringkat ladang.
“Ketiga, menggalakkan amalan integrasi di kalangan pekebun kecil untuk memperoleh pendapatan sampingan sama ada melalui integrasi getah dengan tanaman seperti pisang, betik, nenas, buah salak atau ternakan seperti madu kelulut,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini
Pada masa yang sama, Jeck Seng memberitahu, kementeriannya juga akan meningkatkan penggunaan penurapan jalan menggunakan teknologi berasaskan getah, bitumen sekerap terubahsuai (CMB) memberi prestasi yang lebih baik berbanding bahan konvensional.
Tambahnya, kerajaan turut mengadakan kerjasama Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) meliputi Thailand, Indonesia dan Malaysia yang merupakan antara strategi untuk meningkatkan penggunaan getah asli dalam negara masing-masing bagi menstabilkan harga getah. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH