15 SEPT: Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan penduduk Sabah supaya lebih berhati-hati susulan peningkatan kes-kes baharu COVID 19 yang amat ketara di negeri itu, khususnya di daerah Tawau dan Lahad Datu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah supaya sentiasa mengamalkan norma-norma baharu kehidupan dengan lebih berdisiplin bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
Menurut Muhyiddin, semua aktiviti kempen perlu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tegas beliau, orang ramai juga perlu mengelakkan sebarang perkumpulan di tempat sempit selain tidak perlu bersalaman dengan pengundi walaupun perkara itu sudah menjadi kelaziman ketika berkempen sebelum ini.
“Saya fikir para pengundi pun faham kalau mereka yang turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman. Yang penting kita saling melindungi antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan COVID-19. Kita jaga kita bah,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian menerusi perutusan khas perkembangan COVID-19 yang disiarkan secara langsung stesen televisyen utama negara malam ini.
Kempen PRN Sabah yang secara rasmi bermula Sabtu lalu akan berlangsung selama dua minggu sehingga hari pengundian 26 September ini.
Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya itu mengingatkan semua rakyat Malaysia akan kesan sekiranya kes-kes
COVID-19 meningkat dengan mendadak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan semula.
Kata beliau, akibatnya tentulah amat buruk kepada kehidupan dan ekonomi negara dengan tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuat kuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini.
Justeru, Muhyiddin berharap semua pihak akan terus cekal, tabah dan berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 dengan sentiasa mengingatkan diri supaya terus membudayakan amalan norma-norma baharu
kehidupan.
“Selain tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan, amalan norma baharu kehidupan oleh saudara dan saudari sekalian adalah faktor yang amat penting dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“Oleh itu, berhati-hatilah. Lindungi diri anda. Lindungi keluarga anda. Lindungi orang-orang di sekeling anda. Sama-samalah kita berdoa semoga segala usaha yang kita lakukan dalam memerangi COVID-19 akan berjaya,” ujarnya. -M. HERMAN HAMID