15 SEPT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil maklum Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) secara kolaboratif telah mengambil langkah yang sewajarnya untuk merangsang ekonomi melalui Pelan Pembangunan Strategik NCER (2021-2025) dan Rangka Kerja Strategik Pasca COVID-19.
Kata Muhyiddin, kedua-dua pelan dan rangka kerja strategik ini memperincikan pelaksanaan pembangunan strategik, dorongan pelaburan dan program memperkasakan rakyat dalam menghadapi situasi ekonomi pasca COVID-19.
“Sememangnya, momentum pembangunan sosioekonomi NCER ini adalah selari dengan agenda pembangunan Kerajaan Persekutuan, terutamanya dalam usaha merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat.
“Saya difahamkan NCIA telah mewujudkan dua program iaitu JomKerja dan JomNiaga di bawah Program Modal Insan NCIA, selaras dengan objektif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan merangsang dan melonjakkan semula ekonomi negara. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya di Facebook beliau hari ini.
Perdana Menteri pagi tadi mempengerusikan buat pertama kalinya, Mesyuarat NCIA yang ke-23 (PB23) di Avi Beach Resort, Pulau Pangkor.
Hadir sama, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datouk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Kedah, YMuhammad Sanusi Md Nor; dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Tambah Muyiddin, pada mesyuarat ini juga beliau berpeluang berinteraksi dengan dua orang usahawan yang telah mendapat manfaat di bawah program “EmpowerNCER”.
Katanya, pertama ialah peniaga laksam dan kuetiau t’ng, Nor Hazima Abdul Jalal dari Pendang, Kedah yang mana beliau dimaklumkan usahawan itu kini mampu menggaji dua orang pekerja dari kampungnya.
“Berkat usaha gigih beliau dan juga bantuan yang diberikan, Hazima kini berjaya menjana pendapatan sebanyak RM6,000 sebulan berbanding RM300 sebulan sebelum ini.
“Seorang lagi usahawan yang saya temui ialah Diani Iqlema Mohd Radzi dari Kangar, Perlis. Beliau adalah pemilik perniagaan udang kara dan azolla, yang diusahakan bersama suaminya.
“Saya sempat mendengar tentang perancangan perniagaan Diani. Saya percaya jika benar-benar disusuli perancangan itu, insya-Allah tidak mustahil untuk beliau menjadi pengusaha udang kara dan azolla yang berjaya,” jelasnya.
Sementara itu, pada akhir mesyuarat, beliau telah menyerahkan Pelan Pembangunan Strategik NCER (2021-2025) dan Rangka Kerja Strategik Pasca COVID-19 kepada Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk dilaksanakan di peringkat negeri masing-masing.
“Saya menyambut baik inisiatif yang diketengahkan oleh NCIA untuk memperkasa penduduk dan merancakkan aktiviti ekonomi tempatan. Saya berbangga dengan pencapaian para usahawan kita dan mendoakan agar perniagaan mereka terus maju,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID