15 SEPT: Selepas dibidas pelbagai pihak termasuk pembangkang, kerajaan negeri Selangor akhirnya membuat pusingan U dengan mengekalkan elaun petugas masjid dan surau di negeri itu pada kadar asal.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima taklimat daripada pihak terbabit dengan mengambil kira keperluan para petugas.
Katanya, kerajaan negeri akan menanggung implikasi kewangan sebanyak RM3 juta setelah elaun tambahan petugas masjid yang dibayar bermula 2003 itu adalah daripada hasil kutipan zakat setiap tahun.
“Bagaimanapun kutipan zakat tahun ini mencatatkan penurunan mendadak hampir 20 peratus hingga menyebabkan beberapa pelarasan sementara perlu dibuat,” katanya.
Beberapa hari lalu, tular surat rasmi mengenai pengurangan elaun berkenaan sekali gus mengundang respons negatif umat Islam di negeri itu.
Surat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu memaklumkan pengurangan elaun membabitkan nazir dan timbalannya, setiausaha, bendahari, bilal serta siak daripada keseluruhan RM1,430 kepada RM880 bermula Mei lalu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, hanya selepas ditegur ramai barulah Menteri Besar Selangor menarik balik pemotongan elaun berkenaan.
“Selepas teguran ini, tengah hari tadi Amirudin telah membuat U-turn dengan tidak jadi memotong elaun pegawai-pegawai masjid ini.
“Nasihat saya, lain kali jika mahu potong elaun sesiapa, potong dahulu elaun atau gaji Menteri Besar dan Exco Selangor yang berpuluh-puluh ribu ringgit itu dan jangan potong elaun petugas masjid yang bukannya banyak pun,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Isham memberitahu, Amirudin dan barisan Exconya yang seharusnya dikurangkan elaun dan gaji disebabkan kegagalan mereka dalam mentadbir negeri Selangor.
Beliau turut mendedahkan bahawa Amirudin dan Exco-Exco negeri Selangor menerima gaji dan elaun yang paling tinggi di Malaysia.
“Rakyat Selangor adalah pembayar cukai yang tertinggi di Malaysia, namun perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat Selangor adalah amat tidak memuaskan berbanding negeri lain.
“Potong gaji dan elaun mereka dengan serta-merta kerana kegagalan menangani masalah asas di negeri Selangor seperti masalah air yang kerap terputus, masalah pencemaran sungai yang serius, masalah kilang-kilang haram yang beleluasa, masalah premis judi haram yang bertebaran dan sebagainya di negeri Selangor,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mendesak agar Amirudin dan Exco Kerajaan Negeri Selangor memberi keadilan kepada rakyat di negeri tersebut dengan meletak jawatan jika tidak mampu menjalankan tugas.
“Tidak adil untuk rakyat, gaji besar yang diterima itu tidak berkat kerana amanah yang diberikan tidak terlaksana,” katanya.