15 SEPT: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa rakyat Sabah supaya menolak PKR kerana ia hanya memperjuangkan cita-cita Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.
Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, PKR bukanlah sebuah parti yang memperjuangkan rakyat sebaliknya hanya berlandaskan perjuangan Anwar yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri.
Beliau sangat kenal dengan barisan kepimpinan PKR kerana lebih 20 tahun berjuang dan membina parti berkenaan ketika Anwar berada dalam penjara.
“Hari ini, saya datang nak bagi tahu tuan-tuan dan puan-puan tolaklah PKR. PKR pun tidak ada calon, saya tidak kenal calon ini, saya yang membina PKR bukannya Anwar.
“Dia (Anwar) duduk dalam penjara pun sebab masalah dia, saya yang bina parti, saya yang pergi jalan raya, berkempen.. dia duduk penjara (tapi) dia keluar nak jadi Presiden PKR.
“Hari-hari cerita “bila aku nak jadi Perdana Menteri”, cukuplah 20 tahun nak cakap pasal satu orang, kita nak bincang pasal rakyat masalah ekonomi bina negara majukan negara.
“Sekarang tidak ada siapa nak jadi calon PKR sebab ini parti yang tidak mengangkat suara rakyat, tidak membela rakyat tapi hanya menjaga kepentingan seorang yang rakus,” katanya ketika berucap di program turun padang dan melawat Bilik Gerakan PBS, PDM Tamparuli, Jalan Perumahan Kionsom Baru, Tuaran di Kota Kinabalu, siang tadi.
Berikutan itu Mohamed Azmin yang kini Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meminta pengundi Tamparuli membuka mata dan menolak calon PKR di DUN berkenaan iaitu, Alijus Sipil dan menyokong calon PBS, Datuk Jahid Jahim.