Respons terhadap laporan akhbar Utusan Malaysia yang mengatakan bahawa setiap basikal di negara ini perlu didaftar dan dilesenkan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor.
Saya ingin menegaskan bahawa cadangan tersebut tidak pernah dibincangkan di peringkat Kementerian. Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menafikan sama sekali untuk melaksanakan cadangan seperti itu malah cadangan ini juga tidak pernah dibangkitkan kepada saya.
Banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh MOT bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.
Setakat ini, sebarang komen yang dibuat oleh MIROS sebagaimana yang dilaporkan media hari ini tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses seterusnya mendapat kelulusan Menteri.
Agensi-agensi di bawah MOT perlu membuat kajian menyeluruh atau cadangan untuk analisis dan pertimbangan pengurusan kanan MOT termasuk Pejabat Menteri sebelum proses dimulakan bagi melaksanakan apa-apa dasar di bawah bidang kuasa MOT.
Semua pengumuman polisi pramatang adalah dilarang tanpa persetujuan Menteri.
Dari segi keselamatan penunggang basikal, MOT melalui JPJ dan MIROS terus mempromosikan program advokasi keselamatan dengan penggemar sukan berbasikal dan persatuan-persatuan yang berkaitan secara berterusan, begitu juga dengan semua pengguna jalan raya lain.
Program berkaitan keselamatan ini juga akan dibincangkan dan dikemas kini semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya yang akan diadakan pada bulan ini.
Dalam masa sama, saya juga ingin menasihatkan kepada semua penunggang atau penggemar sukan berbasikal supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan ketika berbasikal di jalan raya kerana turut terikat di bawah peraturan-peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menteri Pengangkutan,
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong