SABAH satu-satunya wilayah dan negeri dalam Malaysia yang masih dituntut sebuah kerajaan asing. Sejak dari 57 tahun lalu sehinggalah sekarang.
Filipina tidak pernah menggugurkan tuntutan mereka walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan dunia mengktiraf Sabah sebahagian dalam Persekutuan Malaysia.
Sebab itu, siapa yang menjadi Ketua Menteri Sabah perlu tahu apa yang patut disentuh dan apa yang tidak dalam mengulas isu hubungan luar.
Bukanlah bermakna siapa yang menjadi Ketua Menteri Sabah kena mempunyai pengetahuan dan kemahiran diplomatik setaraf Setiausaha Agung PBB.
Yang perlu adalah dengan tidak memberi kenyataan yang boleh memberi ruang kerana ada kes perundangan antarabangsa menunjukkan kenyataan seorang pemimpin boleh memberi kesan pada masa depan.
Hal ini tidak perlu pun berkelulusan Sarjana Hubungan Antarabangsa dari Harvard atau Oxford, cukuplah dengan memahami dos and don’ts supaya tidak bercakap perkara tidak boleh bercakap.
Namun apabila mendengar ada yang mahu rundingan dua negara, itu sememangnya tidak boleh dibuat. Kata orang putih, big no-no dalam bab kedaulatan wilayah kerana seperti ditegaskan Wisma Putra, ini buka ruang seolah kita mengakui asas tuntutan mereka.
Pada masa sama, jangan pelik bila ada republik itu mengaktifkan semula Pejabat Perhubungan North Borneo baru-baru ini.
Benar, semua pihak bertegas Sabah sebahagian Malaysia. Cuma bila ada isu-isu melingkari seperti pendatang asing di Sabah, kena cermat tentang batas-batasnya walaupun ada ruang untuk meraih laba politik di situ dengan ‘blame game’.
Begitu juga dalam mendesak Filipina membuka pejabat konsulat di Sabah sedangkan itu sesuatu yang tidak akan dibuat republik itu selagi mana mereka masih menuntut Sabah. Isu ini memang rumit tapi kena cari cadangan lain untuk dilontarkan.
Dan dalam bahang kempen ketika ini, sesiapa pun boleh beri pandangan waima bertujuan politik sekalipun tetapi harus kena pada tempatnya. Jangan tersilap cakap.
Paling utama, dalam bab kedaulatan Sabah tiada rundingan. Titik noktah. -Oleh M. HERMAN HAMID