16 SEPT: Operasi Benteng yang dilaksanakan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh pasukan keselamatan semalam berjaya menangkap seramai 120 PATI dan dua tekong.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dirampas adalah tiga kapal atau bot dan empat kenderaan darat.
“Daripada jumlah itu, di Pengkalan Kubor, Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan sembilan PATI kerana memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak sah.
“Di Teluk Penawar, Bandar Penawar, Johor, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya menahan lima PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Selain itu, beliau memberitahu, PDRM telah menahan seramai 68 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan daripada jumlah itu, seramai 66 individu telah dikompaun manakala dua individu direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk ingkar perintah PKPD (21), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (18), tidak memakai pelitup muka (18), penjarakan fizikal (6), gagal melunaskan bil kuarantin (3) serta tangkapan PATI (2),” jelasnya.
Ismail Sabri menambah, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 1,335 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,316 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 19 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN