Penghormatan, persefahaman kunci keharmonian Malaysia
Oleh DATUK SERI MOHAMAD HASAN
Hari Malaysia merupakan satu peringatan betapa bertuahnya kita sebagai rakyat Malaysia. Kita menetap di sebuah negara yang pelbagai kaum, pelbagai etnik dan pelbagai agama secara aman dan harmoni.
Hari Malaysia memperingatkan kita bahawa negara ini, dibina atas dasar perpaduan, toleransi, kehormatan, persefahaman dan permuafakatan antara satu sama lain.
Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 melihatkan gabungan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Ini menzahirkan komitmen kita dalam menubuhkan sebuah negara yang majmuk dan inklusif. Sebuah negara, di mana kita dapat berkongsi, memahami dan meraikan budaya serta sejarah masing-masing.
Sebagai rakyat Malaysia, kita wajib meraikan hari yang bersejarah lagi bermakna ini. Di mana sekali pun kita berada, rakyat merupakan asas kepada pembentukan sebuah negara. Negara tanpa rakyatnya, hanyalah sekadar sebidang tanah. Sempadan tanpa rakyatnya, hanyalah satu jasad yang mendukung semangat negara.
Kerajaan tanpa rakyatnya, hanyalah sekadar struktur politik tanpa roh dan jiwanya. Ketika krisis COVID-19 ini, kita telah menyaksikan betapa teguhnya kesatuan rakyat dalam bekerjasama dan berganding bahu.
Saya amat berbangga melihat rakyat Malaysia saling membantu tanpa mengira perbezaan. Kita harus terus menunjukkan semangat perpaduan ini. Kita harus terus hidup dalam semangat perpaduan ini.
Jika dikatakan Malaysia bebas daripada sebarang konflik, ini merupakan satu kenyataan yang tidak jujur. Sebagai sebuah negara yang pelbagai ragamnya, kita tidak pernah sepi daripada permasalahan dan kesulitan.
Menyedari perkara itu, kita telah mengambil satu langkah yang besar dalam membina sebuah negara. Malaysia yang kita bina ini, sentiasa menerima dan menghargai satu sama lain. Saya amat gembira melihat rakyat Malaysia berkongsi suka dan duka serta jerih payah tanpa memikirkan perbezaan yang ada.
Ini merupakan satu petanda bahawa, masyarakat Malaysia telah berjaya menghayati nilai sebenar hidup bermasyarakat – iaitu sentiasa bertoleransi dan berbelas kasihan antara satu sama lain.
Nilai inilah yang menjadikan Malaysia sebagai negara yang kita kenali dan cintai. Penghormatan dan persefahaman yang tinggi di antara kaum telah membolehkan kita mencapai keharmonian.
Keharmonian dan kesefahaman yang negara lain amat cemburui. Sehingga hari ini, saya amat bersyukur. Kerana krisis sosial yang terakhir dialami Malaysia adalah pada 13 Mei 1969. Semenjak peristiwa tersebut, tiada lagi kejadian yang boleh merobek talian persaudaraan antara kita, rakyat Malaysia.
Hala tuju seterusnya, adalah untuk mewariskan nilai toleransi dan berbelas kasihan kepada generasi akan datang.
Kita harus menjalani kehidupan seharian sebagai warganegara dengan menjiwai dan meneladani semangat sebenar toleransi dan belas kasihan. Agar satu hari nanti, para generasi muda pewaris negara dapat mencontohi dan mengaguminya.
Seperti mana kita meraikan wira-wira negara semasa Hari Kemerdekaan, kita juga harus meraikan masyarakat kita semasa Hari Malaysia. Kita harus menghormati satu sama lain, berkongsi pengalaman masing-masing, serta meraikan kepelbagaian dan keunikan setiap daripada kita.
Selamat Hari Malaysia saya ucapkan. Semoga fajar hari esok semakin cerah dan bercahaya bagi Malaysia. Bagi anak dan cucu kita.
Penulis ialah Timbalan Presiden UMNO