16 SEPT: Pembentukan Malaysia bagi meraikan perpaduan dalam masyarakat majmuk yang berbeza bangsa dan agama wajib dihormati sebagai makna sebenar dalam meraikan Hari Malaysia.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, peristiwa bersejarah 16 September 1963 amat penting untuk dihayati bagi mewujudkan budaya dan masyarakat Malaysia yang sejahtera dalam mewujudkan perpaduan kaum yang utuh.
“Hari ini kita menyambut Ulang Tahun Hari Malaysia ke-57 dengan penuh aman dan damai.
“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama. Islam Memperkukuh Perpaduan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat memberitahu, manusia secara fitrah juga diciptakan untuk bersatu-padu kerana Allah SWT menjadikan manusia saling memerlukan antara satu sama lain.
“Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan. Makanan diperolehi dengan bercucuk tanam atau memburu.
“Maka, manusia memerlukan alat bagi mendapatkan makanan dan sekelompok manusia yang mempunyai kepakaran dalam mencipta alat tersebut.
“Segala kerjasama dan hasil daripada setiap kelompok manusia itu dikumpulkan. Inilah yang dinamakan masyarakat madani yang saling bertaaruf dan bekerjasama melalui perkongsian kepakaran kaum dan bangsa masing-masing,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH