17 SEPT: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, yakin tetap menjadi pilihan rakyat di kawasan berkenaan biarpun bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Beliau juga sudah bertemu pengundi DUN Kuala Penyu bagi menerangkan kepada mereka mengapa meninggalkan UPKO dan bertanding atas tiket PN.
“Saya sudah maklumkan kepada mereka bahawa saya berbuat demikian untuk terus kekal bersama dengan parti yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan pembangunan di DUN Kuala Penyu diteruskan pada masa depan.
“Mereka (pengundi) di DUN Kuala Penyu faham saya bukan meninggalkan mereka atau melompat parti sebaliknya UPKO yang bertindak keluar dari BN sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Penyu, hari ini.
Terdahulu, Limus menggesa pengundi di Kuala Penyu memilih PN kerana ia mampu menjamin bahawa projek pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, sekolah, klinik kesihatan dan sebagainya dapat diteruskan seperti di era pemerintahan BN dulu.
Beliau berkata, rakyat Kuala Penyu perlu bijak membuat pilihan kerana selama lebih 26 bulan kerajaan Warisan memerintah tidak banyak projek pembangunan dilaksanakan di situ.
Malah, Limus berkata, kerajaan negeri juga gagal menyelesaikan masalah bekalan air yang sudah lama dihadapi penduduk di kawasan berkenaan. – Oleh HAIKA KHAZI