17 SEPT: Sabah menjadi penerima manfaat terbesar pembangunan infrastruktur di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi meningkatkan kemudahan jalur lebar di negeri itu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bakal menjadikan kemudahan jalur lebar untuk seluruh penduduk di Sabah setanding dengan kemudahan yang disediakan di negeri lain.
Dengan pelaksanaan inisiatif JENDELA, katanya, rakyat di Sabah akan mendapat capaian jalur lebar yang lebih meluas bermula pada penghujung tahun ini hingga 2022.
“Sejumlah 419 menara baharu akan dibina dan 1,972 pemancar sedia ada akan dinaikkan taraf kepada 4G. Di samping itu, liputan talian tetap gentian optik akan diperluaskan yang membabitkan 251,166 premis di seluruh negeri Sabah.
“Inisiatif JENDELA di negeri Sabah dianggarkan membabitkan kos sebanyak RM2.45 bilion dan saya berharap saudara saudari akan akan menggunakan kemudahan ini sebaik-baiknya untuk memajukan kehidupan dan memakmurkan negeri Sabah,” katanya pada pelancaran Gerbang Sabah, di Kota Kinabalu sebentar tadi.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau percaya masih terdapat rakyat yang memerlukan bimbingan untuk menjadi warga digital yang produktif.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyediakan 133 Pusat Internet Komuniti untuk memberi bimbingan digital kepada rakyat di negeri Sabah.
Katanya, antara bimbingan yang akan diberikan ialah bagaimana untuk menjana pendapatan menerusi e-dagang, iaitu urusan jual beli dalam talian.
“Menerusi internet, sesiapa sahaja boleh berniaga dari mana-mana lokasi. Bahkan ada yang berniaga tanpa memiliki barang sendiri, iaitu melalui kaedah dropship. Inilah contoh potensi kemajuan yang dibawa oleh kemudahan jalur lebar yang disediakan oleh kerajaan.
“Pusat Internet Komuniti sedia ada akan menjalani suatu proses perubahan dengan peruntukan RM13 juta. Aktiviti setempat akan diperkasa agar P.I.K bukan sahaja menjadi tempat untuk membangunkan kemahiran penggunaan internet dan e-dagang, tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu hasil daripada peningkatan aktiviti e-dagang serta menyediakan lebih banyak perkhidmatan atas talian bagi memudahkan rakyat setempat,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan juga sedar golongan belia sebagai warganegara digital adalah kumpulan pengguna kemudahan jalur lebar yang paling aktif.
Tambah, Muhyiddin, penggunaan komputer dan telefon pintar menjadi suatu keperluan kepada golongan ini untuk berkomunikasi, belajar dan bekerja.
“Golongan belia juga menjadi harapan kita untuk mencetuskan inovasi digital yang boleh memacu hasrat negara membangunkan agenda ekonomi digital. Oleh itu, golongan ini perlu diberi pengetahuan yang mencukupi dan peluang yang luas untuk mencetuskan inovasi dan idea baharu.
“Untuk mencapai hasrat ini, kerajaan dan syarikat penyedia perkhidmatan sekali lagi bekerjasama untuk mewujudkan pakej-pakej khas capaian jalur lebar untuk golongan belia. Perincian pakej akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan dalam masa terdekat.
“Pakej ini bakal menyediakan perkhidmatan dengan kos yang rendah dan terma yang lebih menarik bagi membantu golongan belia memenuhi keperluan pembelajaran dan perhubungan di era norma baharu,” katanya.
Beliau berkata, semua aspirasi ke arah pembangunan masyarakat digital dan ekonomi digital yang mampan untuk rakyat Sabah bermula di Gerbang Sabah.
“Kapasiti sambungan jalur lebar di sini akan disalurkan kepada infrastruktur seperti ibu sawat gentian optik dan menara-menara telekomunikasi seluruh negeri Sabah.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Telekom Malaysia Berhad yang meneruskan komitmennya untuk mendukung pelan tindakan JENDELA menerusi inisiatif Gerbang Sabah ini.
“Inisiatif penting ini diharapkan dapat mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur digital yang lebih cepat dan menyeluruh.
“Demi memastikan kualiti sambungan jalur lebar nasional terus dipertingkatkan dan sekali gus merapatkan jurang digital dalam negara, kapasiti Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) di Tanjung Aru telah dipertingkatkan dari 4 Terabit sesaat ke 7.3 Terabit sesaat,” katanya.
Justeru itu, Telekom Malaysia akan menaik taraf dan menggandakan lagi kapasiti SKRM sebanyak tiga kali ganda sehingga sekurang kurangnya 12.8 Terabit sesaat dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Beliau berkata, projek berkenaan membabitkan tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta ke atas pelaburan asal RM575.5 juta oleh SKMM dan Telekom Malaysia.
“Kapasiti SKRM ini amat penting untuk menampung peningkatan pengunaan internet oleh rakyat di negeri Sabah serta menyokong matlamat pelan tindakan JENDELA yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
“Semoga usaha ini akan merapatkan jurang digital antara negeri-negeri di Malaysia selain meningkatkan reputasi Sabah di mata dunia,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI