17 SEPT: Pengundi Pilihan Raya Negeri Sabah diingatkan supaya tidak memilih calon dan parti yang mempunyai kaitannya dengan DAP.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, jika satu undi diberikan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) bermakna rakyat menyokong DAP yang selama ini amat dominan menguasai kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau turut mempersoalkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tidak akan menyokong parti dari Semenanjung kononnya hendak menjajah Sabah namun sebaliknya mengadakan kerjasama dengan PKR dan DAP.
“Bekas Menteri Kewangan dari DAP tak habis-habis mengatakan negara bankrap, negara tak ada duit dan macam-macam lagi.
“Bayangkan kalau PH masih memerintah apatah lagi ketika pandemik COVID-19 melanda, agak-agak adakah kita akan dapat bantuan sebagaimana kerajaan hari ini berikan?
“Menteri Pelancongan PH pula hanya ketawa-ketawa saja dan pandang ringan berkaitan masalah COVID-19, maka bayangkan jika mereka yang berkuasa tentunya negara hancur,” katanya ketika berucap pada Program Ziarah Kasih di Kampung Keramat Asli, PDM Keramat malam tadi.
Dalam pada itu, Andi Muhammad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan turut menggesa agar pengundi tidak mempersia-siakan masa hadapan yang berada di tangan mereka.
“Umum sedia maklum sekarang ini adalah masa untuk pilih wakil rakyat yang baru dengan PRN, rakyat mempunyai mandat, ada kuasa dan boleh pilih siapa yang akan memimpin kita tapi lima tahun akan menjadi pertaruhan maka pastinya kita tak mahu tersilap, tak mahu tersalah pangkah.
“Selama ini di bawah kerajaan Warisan, berapa banyak ketidakbolehan mereka mentadbir terserlah dan kita boleh menilai kerajaan mana yang lebih baik dan yang lebih cekap maka dengan ini saya rayu buatlah keputusan yang bijak dan tepat, “katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, perlunya pengundi memilih calon BN sebagai jambatan kepada pemerintahan pusat kerana sudah pasti rakyat mahukan kerajaan yang selari dengan kerajaan pusat juga.
“Ini adalah untuk kebaikan dari kerajaan pusat turun yang tentunya akan diberikan kepada kerajaan negeri. Jika kerajaan negeri dipimpin oleh pembangkang tentulah susah nak dapat apa-apa bantuan kerana tidak selari dari sudut pentadbirannya. Maka undilah BN.
“Apabila keadaan politik tak stabil maka pelabur susah masuk, ekonomi tak berkembang dan terjadilah projek-projek terbengkalai, kerja-kera terhenti dan banyak masalah lain timbul, jadi kita mesti menang dengan besar dan dengan baik untuk masa hadapan,” katanya.