18 SEPT: Seorang bekas pegawai kanan sebuah agensi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bukan sahaja disyaki menggunakan gelaran ‘Datuk’ palsu malah didakwa menjadi dalang kegiatan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam skandal penjualan balak dan pasir di negeri itu.
Perkara itu didedahkan oleh pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.
Lebih mengejutkan, beliau mendakwa, perkara itu diketahui oleh pimpinan kerajaan PH Negeri Sembilan.
“Bila jenayah pegawai yang menggunakan gelaran palsu ini terbongkar, dia dipecat.
“Kami sangat yakin surat pemecatan itu dipinda tarikh lebih awal bagi membolehkan pimpinan kerajaan PH Negeri Sembilan cuci tangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard membuat laporan berhubung skandal tersebut di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pimpinan kerajaan PH Negeri Sembilan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa agar dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dapat disiasat.
Sebaliknya, kata Badrul Hisham, kerajaan PH Negeri Sembilan dilihat mengambil sikap mendiamkan diri berhubung kegiatan Datuk palsu itu.
“Kami berharap SPRM akan menyiasat dakwaan berkenaan dengan segera kerana isu itu telah menjadi perbualan orang ramai di Negeri Sembilan,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH