18 SEPT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin diadakan dalam masa terdekat jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya mentadbir Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September nanti.
Menurut beliau, PRN Sabah penting bagi mengukur sejauh manakah sokongan sebenar rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya.
Muhyiddin berkata, PRN itu amat penting bagi masyarakat Sabah menentukan hala tuju dan masa depan mereka.
“Kalau di Sabah kita sudah menang saya akan cepat adakan pilihan raya di peringkat Pusat.
“Jika orang Sabah memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menyokong PN dan mahu saya terus kekal sebagai Perdana Menteri.
“Kamu mahu Perdana Menteri terus memimpin Malaysia ke arah lebih berjaya dan maju maka saya bersedia membubarkan Parlimen,” katanya ketika berucap di majlis bersama pemimpin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Sabah, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin yakin Sabah akan menjadi lebih maju jika diperintah oleh GRS berbanding Parti Warisan Sabah (Warisan).
Beliau berkata, Sabah bukan tidak berkembang atau maju langsung dibawa kerajaan Warisan dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Ketua Menteri.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, Sabah kurang maju dan berkembang pesat kerana diperintah oleh kerajaan negeri tidak sealiran dengan kerajaan Pusat sekali gus menyebabkan ia agak ketinggalan berbanding negeri lain di Semenanjung.
Berikutan itu, beliau mengajak rakyat Sabah supaya mengubah atau menukarkan kerajaan Warisan dengan GRS yang sealiran dengan kerajaan PN di peringkat Pusat.
“Penduduk di sini kena sokong kerajaan dipimpin oleh PN dan saya akan berikan sokongan lebih 100 peratus kepada pengundi di sini untuk selesaikan isu tanah dan pilih calon GRS pada PRN nanti,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI