SELEPAS seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 berlangsung, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat semakin mendahului parti lain dalam meraih sokongan pengundi di peringkat akar umbi.
Ini bukan kerana usaha satu parti atau individu tertentu sahaja, malah seluruh jentera GRS termasuklah PAS yang turut mengerakkan 500 jentera dan ribuan ahlinya untuk berkempen dan mengundi calon gabungan itu.
Antara watak penting yang memainkan peranan dalam menentukan kemenangan calon GRS ialah Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang dilihat tidak duduk diam ke sana sini.
Beliau menjelajah ke seluruh Sabah dengan menggunakan jalan darat, berkereta mahu pun terbang menggunakan helikopter ke kawasan untuk menemui pengundi dan berkempen siang malam bagi memastikan GRS mampu merampas kerajaan negeri Warisan dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Begitu juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang ke sana sini termasuk bersama pemimpin kerajaan Persekutuan dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bagi memastikan rakyat menukar pentadbiran Sabah daripada Warisan kepada GRS, pada 26 September ini.
Kehadiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang meluangkan masa beberapa hari menjelajah Sabah bagi membantu kempen GRS termasuk dari BN dan PN memberi impak besar kepada peningkatkan sokongan pengundi.
Fenomena ini dapat dilihat di program kempen dihadiri Perdana Menteri termasuk di Marudu, Kota Belud, Kudat, Sepanggar dan Kota Kinabalu yang berjaya menarik ramai pengundi untuk hadir mendengar ucapan beliau yang dikenali dengan jolokan ‘Abah’.
Biarpun, tiada janji ‘bulan dan bintang’ dan jumlah kehadiran pengundi terhad kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mereka tetap sedia menunggu kemunculan Muhyiddin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) kerana mana tahu tiba-tiba angin ‘Abah’ baik mengumumkan ‘ole-ole’ seperti bantuan ‘one off’ kepada bukan hanya rakyat Sabah tetapi golongan berpendapatan renda (B40) di seluruh negara.
Ini kerana bantuan RM1,500 untuk golongan B40, RM1,000 golongan M40 dan RM800 untuk golongan bujang menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berikutan penularan COVID-19 dengan keseluruhan berjumlah RM250 bilion, cukup memberi kesan dan kelebihan awal kepada rakyat di akar umbi termasuk di Sabah.
Manakan tidaknya kerana kerajaan negeri pimpinan parti Warisan juga ada berjanji untuk memberi bantuan dalam bentuk wang tunai RM300 kepada golongan B40 yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19 di Sabah, namun sehingga hari ini hanya sebahagian kecil sahaja mendapat manfaat.
Pelancaran Aku Janji GRS oleh Perdana Menteri pada 16 September lalu yang merangkumi pelbagai aspek termasuk mengembalikan hak dan kuasa autonomi kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63), mengatasi masalah pengangguran di kalangan belia, meneruskan projek pembangunan berskala besar, penubuhan jawatankuasa khas di Dewan Undangan Negeri berkaitan Hak Sabah dan Majlis Petroleum Sabah dan Dana PetroSabah juga memberikan impak besar kepada sokongan pengundi.
Malah, penulis yang berkesempatan mengikuti kempen calon GRS ke beberapa kawasan DUN yang terletak di Parlimen Tawau, Sandakan, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Papar, Beufort, Kota Kinabalu, Batu Sapi, Libaran, Putatan dan Kimanis dapat melihat dengan jelas bahawa majoriti pengundi di Sabah mahukan perubahan kerajaan negeri.
Mereka seolah-olah menyesal memilih Warisan dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain sebagai kerajaan memerintah Sabah selama lebih 26 bulan lalu.
Ramai pengundi dan penduduk juga meluahkan rasa menyesal kerana kerajaan Warisan Sabah bukan hanya gagal menunaikan janji, malah menyebabkan mereka menghadapi banyak kesusahan terutama apabila berlakunya penularan COVID-19 di seluruh negara termasuklah di Sabah.
Antara masalah besar yang dikatakan gagal diselesaikan kerajaan Warisan ialah pemilikan tanah kaum Bumiputera, masalah bekalan air, elektrik dan jalan di luar bandar; selain kegagalan membina penempatan semula kira-kira 6,000 penghuni setinggan termasuk di Kampung Gas yang kini tinggal dalam kontena.
Penduduk Sabah juga dikatakan tidak berpuas hati dan marah dengan kerajaan negeri yang bertindak menghentikan projek berskala besar seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang menyebabkan ramai anak muda kehilangan pekerjaan dan menganggur sehingga hari ini.
Berikutan itu mereka juga berasa tertipu dengan pelbagai janji manis dibuat Warisan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) namun masih gagal ditunaikan sehingga hari ini termasuklah mengembalikan hak Sabah seperti termaktub dalam MA63, memperbaiki taraf hidup rakyat, menjamin tanah adat Bumiputera Sabah dan banyak lagi.
Rakyat Sabah juga berasa terkilan dan berkecil hati dengan tindakan Ketua Menteri Sabah yang dikatakan mengutamakan ‘orang Semporna’ bagi pelantikan jawatan penting dalam jabatan kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, sekali gus menutup pintu rezeki orang dari kawasan lain.
Majoriti penduduk Sabah juga kurang senang dengan tindakan Ketua Menteri Sabah yang meminta Kerajaan Persekutuan berunding dengan Filipina berhubungan tuntutan republik terbabit terhadap negeri ini, selain selogan ‘Sabah untuk Sabahan’ dan ‘In God We Trust’ yang dilaungkan oleh parti Warisan.
Kempen parti Warisan Sabah jelas dilihat kurang mendapat tempat bukan hanya di kalangan pengundi di Sabah, malah parti dan pemimpin politik pembangkang dari Malaya.
Ini jelas kelihatan apabila tidak ramai pemipin utama parti nasional seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP merangkap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang, mahupun Presiden Parti Amanah Negera (PAN) Mohamad Sabu yang naik ‘belon’ ke sini selepas Hari Penamaan Calon untuk membantu Warisan mempertahankan Sabah.
Pada pandangan penulis, ketidakhadiran ‘warlord’ pembangkang ke Sabah adalah sebagai tanda protes terhadap Mohd Shafie dan Warisan yang ‘membolot’ di majoriti kerusi DUN pada PRN kali ini.
Difahamkan sehingga berita ini ditulis hanya bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap mantan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang turun ke Sabah membantu jentera kempen PKR, manakala pemimpin utama lain belum berbuat demikian.
Malah, Mohd Shafie juga dilihat dalam keadaan tertekan sekarang kurang selesa untuk meninggalkan kawasannya di DUN Senallang kerana berdepan dengan saingan empat penjuru termasuk dari anak saudaranya sendiri, Norazman Utoh Nain mewakili Perikatan Nasional (PN).
Tiga lagi calon lain turut mencabar Mohd Shafie di DUN berkenaan ialah D Pg Ahmad Datu Ali Alam (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah).
Bagaimanapun, kesimpulannya sekarang ‘pisau’ sudah tangan rakyat Sabah untuk mereka perlu pilih tembikai mana mahu dibelah dan parti mana yang menjadi pilihan hati dan bakal menentukan untung nasib mereka dalam tempoh lima tahun akan datang. Jangan biarkan pisang berbuah berkali-kali, salah pilih merana badan. -Oleh HAIKA KHAZI