19 SEPT: Jualan kenderaan untuk bulan Ogos tahun ini meningkat tiga peratus kepada 52,800 unit berbanding 51,148 unit pada bulan yang sama tahun lalu.
Menerusi kenyatan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan lebih tinggi itu didorong oleh kempen promosi yang berterusan oleh syarikat automotif.
MAA berkata, bagaimanapun jumlah jualan pada Ogos 2020 susut lapan peratus berbanding angka yang dicatatkan pada Julai 2020 berikutan tempoh bekerja lebih pendek pada bulan lepas susulan cuti umum.
“Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Julai 2020 juga tinggi susulan tempahan tertunggak dapat diselesaikan selepas pengumuman insentif pengecualian cukai jualan,” menurut MAA.
Persatuan itu berkata, pengeluaran meningkat kepada 50,228 unit pada Ogos 2020 daripada 47,000 unit pada Ogos tahun lalu.
Jumlah jualan pada September 2020 diunjurkan kekal pada angka yang direkodkan semasa Ogos 2020, disokong oleh kempen promosi berterusan.
“Selain itu sentimen pengguna kekal berhati-hati dengan tempoh moratorium akan berakhir pada 30 September 2020,” menurutnya.
Kerajaan juga memperkenalkan pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini yang berjaya merancakkan lagi jualan kereta di sebalik cabaran ekonomi akibat wabak COVID-19.