“Masa PH buat, Bersih 2.0 tak kata salah pula”
19 SEPT: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ternyata bersikap berat sebelah apabila menuduh bantuan yang diberikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada nelayan dan petani Sabah sebagai cubaan “memancing undi”.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, Bersih 2.0 bagaimanapun tidak pernah pula menuduh Pakatan Harapan (PH) ketika menerajui Putrajaya menggunakan dana kerajaan ketika berkempen walaupun terang-terangan berlaku di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
“Mengapa perlu wujud dwi-standard begini. Waktu PH memerintah perbuatan begini tidak dikatakan melanggar undang-undang.
“Tetapi waktu PN memerintah perbuatan begini dikatakan melanggar undang-undang pula?,” soalnya menerusi kenyataan media kepada PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, Bersih 2.0 dalam satu kenyataan mendakwa Perdana Menteri dengan jelas menggunakan kedudukannya dan sumber kerajaan untuk mempengaruhi pengundi di Sabah untuk mengundi calon yang selari dengan PN.
Bersih 2.0 seterusnya menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat tindakan rasuah oleh Perdana Menteri dan terhadap semua yang menggunakan kedudukan mereka serta sumber kerajaan bagi memancing undi.
Justeru itu, Kamarul Zaman mempersoalkan kenyataan badan bukan kerajaan (NGO) itu yang menyatakan memancing undi nelayan menggunakan dana kerajaan tidak melanggar undang-undang namun tetap salah.
“Pada 7 November 2019 (Bersih 2.0)pernah menyebut percubaan untuk memancing undi daripada nelayan tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada.
” Tetapi ianya jelas sekali tidak beretika untuk parti politik menggunakan duit pembayar cukai bagi memenangi pilihan raya.”katanya.
Sementara itu, Kamarul Zaman yang juga Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) UUM mendedahkan, Bersih 2.0 juga telah merekodkan beberapa laporan menteri kerajaan persekutuan mengumumkan peruntukan wang tunai semasa memantau PRK Tanjung Piai.
“Namun masa itu Bersih 2.0 tidak pula mengatakan menteri-menteri (PH) ini telah melanggar undang-undang pilihan raya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH