20 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 522 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 342 individu telah dikompaun manakala 180 individu direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (363), penjarakan fizikal (81), tidak memakai pelitup muka (36), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (17) dan gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (12).
“Kesalahan-kesalahan lain adalah keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan kukuh (1), premis beroperasi tanpa kebenaran (5), dan tangkapan warga asing tanpa dokumen perjalanan diri (7),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau memberitahu, penguatkuasaan Operasi Benteng semalam telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 180 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima penyeludup dan seorang tekong.
“Turut berjaya dirampas lima kenderaan darat,” jelasnya.
Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 772 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati kesemua premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN