20 SEPT: Pencemaran dikesan berlaku di Sungai Gong di Rawang, Selangor semalam, mengakibatkan airnya bertukar kepada warna hitam.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak tentang insiden pada jam 12.11 tengah hari semalam.
Menurut LUAS, siasatan yang dijalankan di kawasan inlet Kolam Tebatan Banjir JPS mendapati air sungai tersebut berwarna hitam dan tiada bau sertai disyaki berpunca daripada pewarna.
“LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas loji pembersihan air (LPA) utama di bahagian hilir Sungai Selangor.
“Siasatan juga mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih dari discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) GBK 134 area 5 di Kawasan Perindustrian Rawang,” jelas LUAS dalam kenyataan media, malam tadi.
LUAS menambah, pensampelan in situ mendapati kandungan ammonia adalah sebanyak 5.2 mg/l dan TSS adalah 47 mg/l manakala IWK telah memberhentikan pelepasan discaj efluen.
Siasatan yang dijalankan LUAS bersama Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) di Stesen Pemantauan Sungai Country Home Rawang mendapati sampel aliran air berwarna hitam tersebut tiada bau dan kesan minyak.
Walau bagaimanapun, tiada henti tugas loji dan gangguan air berlaku yang disebabkan oleh insiden berkenaan. – Oleh HUSSAINI AMRAN