21 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 293 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 269 individu telah dikompaun manakala 24 individu direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (124), penjarakan fizikal (85), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (31), tidak memakai pelitup muka (24) dan premis beroperasi lebih masa (10).
“Kesalahan-kesalahan lain adalah tangkapan pendatang asing tanpa izin (9), premis beroperasi tanpa kebenaran (6), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (2), dan gagal lunaskan caj kuarantin (2),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau memberitahu, penguatkuasaan Operasi Benteng semalam telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 75 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima penyeludup dan dua orang tekong.
“Turut berjaya dirampas empat kenderaan darat,” jelasnya.
Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,607 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,594 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 13 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN