21 SEPT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sekadar menabur satu lagi ‘janji’ pilihan raya berhubung tawaran pemberian tanah seluas lima ekar kepada rakyat di Negeri di Bawah Bayu andai Warisan kekal berkuasa di negeri berkenaan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata janji ditabur Presiden Warisan berkenaan adalah satu cakap kosong dan pembohongan semata-mata.
Bung Moktar yang juga calon BN DUN Lamag berkata, ini kerana tanah ditawarkan terbabit adalah berstatus Hutan Simpan Kelas Enam yang diletakkan sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Kelmarin beliau berjanji untuk memberi lima ekar tanah kepada rakyat seisi keluarga di Sabah. Saya mencongak-congak melalui kalkulator, saya tengok tanah mana lagi dia (beliau) mahu bagi.
“Sampai Gunung Kinabalu pun tidak akan sampai. Ini satu pembohongan yang sudah tentu tidak akan dapat ditunaikan sama sekali.
“Tanah berkenaan tidak boleh diberi kepada sesiapapun, termasuklah Sultan sekali pun kerana tanah itu bukan sahaja dijaga Sabah dan Malaysia tetapi juga PBB,” kata Bung Moktar di Pusat Operasi BN di Bandar Sri Indah.
Yang turut hadir, tiga calon BN Parlimen Tawau dan Kalabakan iaitu Hamild Awang (N.67 Balung), Chaya Sulaiman (N.70 Kukusan) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (N.71 Tanjung Batu).
Mengulas lanjut, Bung Moktar mendakwa dalam satu kempen di Kinabatangan berkata, Mohd Shafie menjanjikan tanah berkeluasan lebih 5,000 hektar, kepada pengundi DUN Lamag yang mengundi calon Warisan, namun, hakikatnya tanah berkenaan sebenarnya Hutan Simpan Kelas Enam Long Manis yang juga Hutan Simpan Kekal untuk kawasan tadahan air.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, beliau sudah menjelajah ke hampir 85 peratus kawasan dan berpuas hati dengan jentera UMNO BN.
Malah, beliau melihat sokongan terhadap BN dilihat semakin meningkat apabila ‘berbondong-bondong’ ahli Warisan bertindak keluar parti untuk menyertai UMNO.
“Di Kunak, lebih kurang sembilan cawangan Warisan bubar, di Tungku 18 cawangan Warisan bubar, di Pantai Dalit berbondong-bondong ahli Warisan masuk UMNO, termasuk yang terkini Setiausaha Politik kepada (Datuk) Dr.Yusof (Yacob) Menteri Pendidikan dan Inovasi iaitu Rafael Idris.
“Tindakan Rafeal berkenaan, mengakibatkan cyber trooper (laskar siber) Warisan menjadi lemah kerana beliau menjaga menjaga cyber trooper parti tersebut.
“Jadi Insya-Allah apabila saya balik ke Kinabatangan nanti, akan ada ramai lagi pemimpin tertinggi Warisan menunggu saya untuk mengisytiharkan mereka keluar parti,”katanya.
Bung Moktar berkata ramai penyokong Warisan bertindak keluar parti kerana sudah tiada keyakinan terhadap janji ditabur Shafie menerusi manifesto ‘Sabah Ubah’ beliau yang ‘bukan alang-alang’, namun sudah hilang diganti dengan slogan ‘Sabah Ubah Balik’.
“Kita mesti Ubah Balik dengan mengundi BN kerana kerajaan Warisan sudah menyebabkan ekonomi Sabah jatuh teruk daripada 8.2 peratus pada 2017 kepada 1.5 peratus pada 2018 dan 0.54 peratus pada 2019,” katanya.