22 SEPT: Sebanyak 35 peratus pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah keluar mengundi setakat jam 11 pagi tadi.
Tepat jam 8 pagi tadi, sebanyak 55 pusat pengundian dibuka bagi membolehkan 16,877 pengundi awal menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Daripada jumlah itu, seramai 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis bersama pasangan masing-masing layak mengundi.
Tinjauan media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati proses pengundian awal anggota polis dijalankan di Mes Pegawai IPK Sabah dalam suasana lancar.
Selain itu, proses pengundian awal juga dijalankan di Kem Lok Kawi dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Teluk Sepanggar.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Sepanjang proses pengundian, pematuhan kepada SOP seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair sanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dilaksanakan sepenuhnya.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, dilaporkan berkata, peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis manakala pengiraan kertas undian akan dilakukan Sabtu ini.
Ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR dibenar menyaksikan proses pengundian awal itu, yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR.