22 SEPT: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan kenyataan spontan pemimpin parti itu, Datuk Mohamaddin Ketapi berhubung insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 telah disalahertikan.
Ketua Menteri Sabah itu menjelaskan, Mohamaddin yang juga calon Warisan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama tidak berniat untuk menghina perjuangan para perajurit dan anggota keselamatan kita yang mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan rakyat dan negara ini.
“Sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan, saya amat memahami keperitan yang terpaksa ditempuh anggota keselamatan ketika menjaga sempadan negara terutama di pos-pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan.
“Setiap anggota yang berada di perbatasan bukan sahaja bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan rakyat Malaysia, malah mereka juga terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh bertugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Shafie meminta maaf kepada setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan Mohamaddin itu.
Dakwaan Mohamaddin kononnya insiden pencerobohan kumpulah pengikut Jamalul Kiram III di Lahad Datu pada 2013 cuma satu sandiwara dianggap oleh banyak pihak sebagai penghinaan besar terhadap pasukan keselamatan negara.
Beliau seolah-olah menyindir pasukan keselamatan negara apabila menyatakan mereka cuma berperang dengan ayam dan anjing ketika itu.
Mohammadin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya era Pakatan Harapan (PH) dilihat membuat dakwaan yang tidak masuk akal itu dalam rakaman video yang tular melalui media sosial.
Berikut adalah petikan kata-kata beliau ketika berceramah yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia:
“Kamu ingat dahulu PRU yang dia bilang Philippines mau ambil Sabah jadi ada peperangan konon di Tanduo. Datang la jet di Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang. Habis sama kelapa sawit orang.
“Habis rumah orang ditembak. Ini kenyataan. Habis di Tanduo disuruh kereta kebal masuk pergi kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tidak ada. Ayam sama anjing di kampung kawan dia berperang.
“Apabila habis pilihan raya sudah tidak ada pulak peperangan itu,” katanya.
Beliau turut menuduh insiden berdarah itu sebagai sandiwara UMNO yang kononnya akan kalah kepada PKR.
“Tetapi apabila ketika itu kononnya UMNO akan kalah pada PKR terus ada perang di Tanduo. Banyak orang mati disebabkan sandiwara itu. Sandiwara bunuh membunuh orang sahaja,” dakwanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN