22 SEPT: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak pernah membincangkan cadangan untuk mendaftarkan, melesenkan atau mewajibkan basikal di negara ini menggunakan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, berkata cadangan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu tidak pernah dibangkitkan kepada pihaknya.
“Saya ingin memberi pencerahan bahawa setiap basikal perlu didaftar dan dilesenkan tidak pernah dibincangkan di peringkat Kementerian Pengangkutan.
“Setakat ini semua dasar dan penentuan mengenai penggunaan kenderaan ini akan dikaji dari pelbagai pandangan, peraturan aspek keselamatan dan penggunaannya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 pada Persidangan Dewan Negara hari ini.
Mengenai keselamatan penunggang basikal, beliau menjelaskan, MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MIROS sentiasa mempromosikan program advokasi keselamatan secara berterusan bersama pelbagai pihak.
“Program berkaitan keselamatan itu juga akan dibincangkan dan dikemas kini pada mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya yang akan berlangsung bulan ini,” katanya.
Sementara itu, menjawab celahan pertanyaan Ahli Dewan Negara, Idris Ahmad menyatakan jika kerajaan memandang serius sehingga menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan, Hasbi memberitahu pihaknya sudah pun mengambil tindakan mengenai isu itu.
“Semalam saya dah jumpa MIROS sebelum pembentangan hari ini. Sebenarnya memang ada sedikit kesilapan seolah olah basikal akan dilesenkan tetapi saya ulangi lagi basikal perlu diddaftar tidak pernah dibincnsg di peringkat kementerian.
“Jadi kita minta kerjasama semua, memang (berlaku) secara dalaman dan kita telah ambil tindakan terhadap perkara tersebut,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH