22 SEPT: Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini.
Dua daripada kerusi tersebut ialah DUN Tambunan dan Bingkor yang menyaksikan calon PBS akan menghentikan kempen mereka dan memberi sokongan penuh kepada calon PN dari Parti Solidaritu Tanah Airku (STAR) manakala dua lagi kawasan ialah di DUN Bengkoka dan DUN Api-Api.
Di dua kerusi berkenaan, STAR yang sebelum ini dikaitkan dengan sokongan kepada calon Bebas tertentu telah bersetuju akan menggerakkan sokongan untuk memenangkan calon PBS di Bengkoka dan Api-Api.
Perkara itu diumumkan bersama pada sidang media khas di Kota Kinabalu yang dihadiri oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim dan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.d
Menurut Hamzah, selain empat kerusi ini, terdapat beberapa lagi kerusi yang sedang dirundingkan antara PN dengan PBS selaku parti rakan kongsi politik dalam memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri.
Katanya, perkara itu akan cuba diselesaikan sebelum hari pengundian Sabtu ini dan insya-Allah dengan kesepakatan bersama atas kesungguhan untuk mengambil alih pemerintahan Sabah dari kerajaan Parti Warisan, hal itu mampu dicapai.
“Empat kawasan ini tidak ada lagi pertembungan antara PBS dan STAR. Ini akan meningkatkan peluang untuk calon kita menang dalam PRN Sabah ini.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengorbanan yang diberi parti terlibat terutama calon yang menarik diri. Mereka dengan rela hati menandatangani perjanjian menarik diri, ini satu pengorbanan besar.
“Ada lain yang kita runding dan calon terlibat dalam peringkat perbincangan dengan penyokong masing-masing, insya Allah banyak lagi kawasan yang kita capai supaya tidak ada pertembungan antara PN dan PBS selaku rakan kongsi,” katanya.
Di Tambunan, PBS meletakkan Silverius Bruno sebagai calon manakala di Bingkor, Peter Jino Allion dan dengan ini mereka akan menyokong calon STAR, Jeffrey di Tambunan dan Robert Tawik di Bingkor,
Jelas Hamzah, apa yang dilakukan ini demi kebaikan bersama.
Sementara itu, Jeffrey mengucapkan terima kasih kepada semua dengan persetujuan ini yang membolehkan kerjasama dilakukan bagi melawan calon Warisan Plus.
“Dengan adanya persetujuan kerjasama di beberapa kawasan PN dan PBS, saya yakin ia akan memberi impak yang besar dalam mengalahkan musuh utama (Warisan Plus).
“Kita akan beritahu kepada penyokong-penyokong kita supaya ubah suai kempen supaya bersatu menyokong calon di bawah gabungan PN,” katanya.
Sementara itu, Jahid berkata, persepakatan penting dalam mencapai matlamat utama semua untuk menggantikan kerajaan Warisan Sabtu ini.
“Kita ada agenda lebih besar. Kita akan membantu kemenangan calon-calon PN di Tambunan dan Bingkor.
“Kita juga memaklumkan SPR yang tidak akan menggunakan logo-logo parti tidak akan diguna pakai lagi di dua kawasan DUN ini,” ujarnya.
Di bawah undang-undang pilihan raya, calon tidak lagi boleh menarik diri namun apa yang biasa dilakukan ialah mengumumkan kepada penyokong mereka untuk menyokong calon lain. -Oleh M. HERMAN HAMID