22 SEPT: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 bagi meminda nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan.
Pindaan itu membolehkan nilai ambang berkenaan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000, sekali gus menjadikannya lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan serta isu semasa berkaitan insolvensi.
RUU itu yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya diluluskan selepas bacaan kali ketiga tanpa sebarang pindaan menerusi undian suara.
Shabudin ketika menggulung RUU berkenaan berkata, pindaan itu dibuat berikutan data di Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan individu berusia 35 tahun ke bawah adalah golongan paling tinggi terjejas.
Menurutnya, Kerajaan sudah mengkaji undang-undang berkaitan muflis melalui Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 (Akta A1534) yang berkuat kuasa pada 6 Oktober lalu.
“Akta ini juga memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Seksyen 33C iaitu pelepasan automatik yang mana tempoh muflis ditadbir selama tiga tahun dari tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal orang muflis dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa bagi melayakkan mereka dilepaskan secara automatik.
“Orang muflis dalam memohon Pelepasan Automatik ini hendaklah mematuhi syarat digariskan dalam Akta Insolvensi 1967 (Akta 360),” katanya.
Beliau berkata, pindaan itu dapat membantu dan memudahkan orang muflis untuk memahami dan mematuhi arahan berdasarkan undang-undang ditetapkan.
“Kunci utama seseorang yang muflis supaya statusnya tidak berkekalan sepanjang hayat ialah memahami, memberi kerjasama penuh dan mematuhi arahan MdI,” katanya.