22 SEPT: Situasi penularan COVID-19 di Sabah adalah terkawal dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan Sabtu ini boleh diteruskan seperti dijadualkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, malah bagi memastikan urusan PRN lancar, KKM juga mempertingkatkan kerjasama dengan agensi lain di samping melakukan aktiviti kesihatan awam bagi membendung penularan wabak berkenaan.
Katanya, bagaimanapun semua ini terletak kepada kepatuhan orang ramai termasuk petugas barisan hadapan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa untuk memastikan kelancaran perjalanan PRN.
“Kita memantau rapi situasi di Sabah dan saya percaya kita mampu mengawalnya dengan rakyat mahu pun petugas barisan hadapan perlu mematuhi SOP.
“Ini mesti dipraktikkan, patuhi jarak fizikal, pakai pelitup muka dan kita boleh cegah jangkitan sehingga 85 peratus. Ini kaedah yang sangat berkesan untuk kita putuskan rantaian penularan COVID-19.
“PRN lagi tiga hari, kita harap terus dapat bendung selepas PRN. Kita akan buat pengawasan dan tentukan kemudian nanti langkah selanjutnya. Daripada pemantauan KKM ketika ini, situasi di Sabah sangat terkawal,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham ditanya sama ada PRN Sabah perlu ditangguhkan seperti disarankan seorang pakar kesiahatan awam berikutan peningkatan ketara kes COVID-19 di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Menjawab soalan keperluan menyaring individu yang baru tiba dari Sabah, Noor Hisham berkata, pada masa ini hanya mereka yang bergejala diwajibkan jalani saringan dan ujian.
“Yang tidak bergejala mereka digalakkan lakukan ujian,” katanya.
Tambah Noor Hisham, R Naught di Sabah telah turun di bawah satu berbanding beberapa minggu lalu dan ini menunjukkan pembendungan yang dijalankan berkesan.
Katanya, sebab itu aktiviti kesihatan awam dalam komuniti dan lokaliti tertentu akan terus dilakukan selepas ini seperti mana yang telah dilakukan kepada klus-kluster lain sebelum ini.
Menjawab soalan mengenai pengundian bagi mereka yang dikuarantin, Noor Hisham berkata, mereka yang disahkan positif memang tidak dibenarkan keluar hospital kerana mereka boleh menjangkiti individu lain.
“Macam yang di bawah pengawasan rumah seperti mereka yang terdedah kepada kes positif COVID-19 (tetapi diuji negatif), mereka akan diberi time off untuk mengundi. Petugas akan siapkan dengan PPE dan peralatan bersesuaian bagi menguruskan kes seperti ini,” katanya.
Namun jelasnya, individu terlibat perlu memohon kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu untuk pergi mengundi pada Sabtu ini.
“Kalau tidak patuh SOP dengan mengundi tanpa mohon keizinan daripada Pejabat Kesihatan Daerah, maka ia satu kesalahan yang boleh dikompaun.
“Bagi yang mohon kita akan tetapkan masa tertentu untuk mereka keluar mengundi,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID