23 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 65 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 63 individu telah dikompaun manakala dua individu direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (35), premis beroperasi tanpa kebenaran (8), penjarakan fizikal (7), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (7), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (4), masuk kawasan PKPD tanpa alasan munasabah (3) dan gagal membayar caj kuarantin (1),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Selain itu, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan serama 32 pendatang asing tanpa izin (PATI), empat penyeludup dan seorang tekong dalam Ops Benteng semalam.
“Turut berjaya dirampas sebuah bot dan tiga kenderaan darat,” jelasnya.
Ismail Sabri menambah, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 930 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN