23 SEPT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk gabungan kerajaan baharu.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan jelas jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin namun terpaksa ditangguhkan kerana Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Timbul persoalan sama ada Anwar benar-benar beroleh sokongan majoriti seperti yang didakwanya memandangkan hanya isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilihat hadir dalam siaran langsung video sidang media itu.
Tidak kelihatan kelibat sekutu-sekutunya yang lain seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengasas parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga tidak hadir.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berselisih faham mengenai calon Perdana Menteri mereka di mana hanya PKR yang menyokong Anwar.
DAP, PAN, Pejuang dan Parti Warisan Sabah (Warisan) pula secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Walaupun Anwar belum menghadap Yang di-Pertuan Agong, beliau mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi berkuasa.
Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas pada jam 2.30 petang ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN