23 SEPT: Kesemua 18 Ahli Parlimen Pas memberi sokongan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, yang masih sah di sisi Perlembagaan Malaysia.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pada masa sama, Pas akan terus memperteguhkan setiakawan dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.
“Seterusnya Pas mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung usaha Kerajaan Perikatan Nasional menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara secara bersama,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut turut dimuatkan di dalam laman Facebook Ahli Parlimen Marang itu.
Pada tengah hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci sokongan yang dimaksudkan beliau sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Beberapa pihak yang dikaitkan termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan terlibat dengan perancangan Anwar.
Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN BBC) juga menolak rancangan Anwar tersebut dan kekal mendokong kerajaan pimpinan Muhyiddin.
Muhyiddin dalam kenyataannya pula menegaskan beliau adalah Perdana Menteri yang sah sehingga dapat dibuktikan sebaliknya. -Oleh M. HERMAN HAMID