24 SEPT: Calon Perikatan Nasional (PN), Fairuz Renddan, terus bekerja keras dan berkempen bagi memastikan beliau menang kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) Pintasan, biarpun laporan diterima menunjukkan popularitinya kini kian meningkat naik dan mendahului lima pencabar lain.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah itu menegaskan, beliau tidak boleh duduk diam dan hanya berpeluk tubuh serta berasa terlalu selesa dengan laporan positif diterimanya kerana lima calon mencabarnya di DUN Pintasan bukan orang kebanyakan biasa.
Malah, beberapa nama besar dan dianggap tokoh politik terkemuka di Sabah termasuk Ketua Umum Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Almudin Kaida (tiket bebas) turut menawarkan diri masing-masing untuk merebut kerusi Pintasan.
Tiga calon lain yang turut bertanding di DUN Pintasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 termasuklah Mohd Safian Saludin mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan), Padlan Haji Samad (Parti Cinta Sabah) dan Roslan Mayahman (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).
“Biarpun sepanjang tempoh kempen di DUN Pintasan mendapat sambutan agak baik, kita tidak boleh berasa terlalu selesa biarpun tiada lagi program dan ceramah besar-besaran tetapi lebih tertumpu kepada kempen dari rumah ke rumah.
“Apa yang ingin sampaikan kepada penduduk di sini adalah saya akan memperjuangkan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan kemudahan internet lebih baik jika dipilih sebagai ADUN mewakili pengundi di DUN Pintasan, pada Sabtu ini,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan PN akan meneruskan Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang turut melalui DUN Pintasan jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya merampas pentadbiran kerajaan negeri daripada Warisan.
Berikutan itu, Fairuz berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dan membawa Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk meninjau beberapa kawasan yang mungkin sesuai dijadikan kawasan perindustrian di DUN Pintasan jika GRS menang PRN Sabah.
“Kita juga mempunyai beberapa pulau terletak di DUN Pintasan yang sesuai dijadikan pusat tarikan pelancong asing dan tempatan berbanding sekarang di mana penduduknya bergantung kepada penanaman buah tembikar dan perikanan.
“Saya juga mencadangkan kita mewujudkan sebuah pelabuhan mini bagi mengangkut hasil perikanan laut dalam ke kawasan lain,” katanya.
Pada mulanya, Fairuz berkata beliau agak terkejut apabila namanya tersenarai sebagai calon PN di DUN Pintasan kerana lawannya bukan orang calang-calang, malah ada nama besar dari kaum Iranun yang sudah lebih 40 tahun bergiat dalam politik seperti Pandikar Amin.
“Saya memang agak gentar apabila mendengar nama Pandikar Amin namun apa pun kita perlu terima hakikat bahawa dalam politik kena ada calon muda bertanding bukan kerana untuk menjatuhkan atau membunuh kerjaya politik sesiapa pun tetapi untuk meneruskan legasi dan pembangunan di DUN Pintasan ini ke arah lebih baik,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI