24 SEPT: Parti Warisan Sabah (Warisan) diingatkan supaya jangan menjadi ‘hipokrit’ dengan memainkan sentimen ‘Sabah for Sabahan’ dan parti dari Malaya demi menutup kegagalan sendiri selama lebih dua tahun mentadbir Sabah.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Senator Datuk Yakub Khan berkata, beliau melihat kenyataan Warisan mengenai parti Malaya ibarat ‘surat khabar lama’ digunakan mereka untuk menutup kegagalan demi kegagalan dialami mereka sehingga hari ini.
Calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai itu berkata, perbuatan tersebut menunjukkan pemimpin Warisan hipokrit kerana mereka juga bergabung dengan parti dari Semenanjung seperti PKR dan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Keseluruhannya dalam suasana dalam pilihan raya kali ini UMNO meletakkan calon baru dan wajah baru yang muda dan sebagainya lagi yang mana rakyat tidak mampu untuk menolak mereka.
“…dan kita lihat dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) ini tidak ada isu yang boleh dilakukan oleh pihak lawan berkenaan dengan calon-calon kita melainkan menyebut UMNO parti Malaya…UMNO parti Malaya.
“Tetapi perkataan ini sudah berlarutan sudah sekian lama dan isu-isu yang dimainkan parti Malaya adalah isu kitar semula yang mana isu-isu ini adalah surat khabar lama. Saya yakin rakyat Sabah lebih matang… tahu bahawa parti yang memerintah Warisan ini juga tidak memerintah sendirian dan ia juga memerlukan rakan-rakan dari Semenanjung termasuk DAP dan PKR untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Yakub berkata, Warisan juga menggunakan jentera dan khidmat pemimpin parti dari Semenanjung terutama PKR dan, DAP bagi membantu kempennya dalam PRN kali ini.
Malah, Yakub berkata, yang terbaharu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut turun padang bagi membantu kempen calon Warisan untuk merebut kerusi di DUN Darau.
“Jadi saya ingatkanlah pemimpin daripada pemimpin parti lawan ini tolonglah… ingatlah jangan mainkan isu sentimen untuk mengalih tumpuan rakyat yang mana parti Warisan ini menjadi liabiliti kepada rakyat Sabah yang mana membawa isu PSS (Pas Sementara Sabah) yang mereka masih tidak boleh nafikan, isu Pendatang Tanpa Izin (PTI)… tujuan mereka menggunakan isu Semenanjung untuk menutup isu yang dibangkitkan oleh parti BN khasnya.
“Kalau kita lihat kali ini sekali lagi Warisan menabur janji terutama akan menawarkan tanah-tanah kepada rakyat Sabah. Rakyat sebenarnya sudah tahu parti Warisan ini yang menabur janji dan lebih dikenali parti perasmi sahaja kejayaan yang telah dilakar oleh BN.
“Contohnya di kawasan Karambunai ini projek-projek yang direncana dan dilaksanakan semasa kerajaan BN apabila setelah sempurna perasminya adalah daripada parti Warisan. Maka saya yakin dan percaya pengundi di kawasan Karambunai dan Sabah keseluruhannya tidak akan termakan lagi dengan janji-janji yang ditaburkan oleh parti Warisan pada pilihan raya negeri kali ini,” katanya.