24 SEPT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dijangka tiada masalah untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tamat, Sabtu ini.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali, berkata beliau yakin GRS mampu meraih kemenangan dalam PRN Sabah, Sabtu ini berikutan sokongan padu dan sambutan menggalakkan diterima sepanjang berkempen ke seluruh Sabah, sebelum ini.
“Saya percaya dengan sokongan daripada jentera Perikatan Nasional, BN dan PBS dijangka dapat membentuk kerajaan baharu pada hujung minggu ini,” katanya kepada media selepas Program Majlis Sentuhan Mesra Warga DUN Merotai di Bilik Gerakan Utama (BGU) Perikatan Nasional hari ini.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau gembira dengan sambutan pengundi dengan calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Jailani Chachu.
“Alhamdulillah, saya telah menjelajah ke banyak daerah dan mukim dan saya gembira melihat sambutan daripada rakyat Sabah untuk membawa perubahan yang cukup meyakinkan.
“Seperti di Merotai, kita ada calon yang cukup baik yang telah memberikan khidmat sebagai tokoh pendidik dan beliau juga amat dihormati dan dikenali oleh masyarakat tempatan,” katanya lagi.
Berbaki kurang 48 jam, sebanyak 1.12 juta pengundi di Sabah bakal memilih kerajaan samada daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) mahupun GRS.