Anwar masuk perangkap, sudah termakan umpan
25 SEPT: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendedahkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah ‘masuk perangkap selepas termakan umpan’ dipasang oleh pihak-pihak tertentu.
Menteri Wilayah Persekutuan itu amat pasti bahawa rancangan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lebih awal memang sudah lama ada dalam pemikiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin; Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, lagi cepat PRU-15 diadakan maka semakin cepat Ketua Pembangkang berkenaan menjadi tidak relevan dalam dunia politik Malaysia.
“Lagi cepat PRU lagi cepat Anwar menjadi tidak releven…entah siapa agaknya strategis Anwar. PM tepi dan diketepikan memanjang…
“Saya percaya Anwar telah dijadikan umpan, untuk meminta PRU disegerakan.Tak lebih dari itu.
“Itu namanya politik. Siapa memancing dan siapa dipancing belum tau. Yang pasti UMNO dan MN mempunyai pendirian jelas…NO ANWAR NO DAP…..sesiapa yg nak ikut mereka, sila.
“Yang nak ikut MN sila. Telor tembelang Anwar mula nak pecah..kononnya ada orang UMNO sokong DIA..ertinya talian hayatnya ada pada UMNO?..Shafie kata NO!….kalau begitu Jom kita mulakan dengan tolak calon PKR di Sabah, esok,” katanya dalam beberapa ciapan Twitter, hari ini.
Semalam, sebuah portal mendakwa seramai 19 Ahli Parlimen BN menyokong komplot yang dirancang Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Setakat ini, lima Ahli Parlimen BN telah menegaskan tidak menyokong komplot Anwar iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Ramli Mohd Noor (Cameron Highlands), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit). – Oleh HAIKA KHAZI