China roboh lebih 16,000 masjid
25 SEPT: Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) mendakwa pihak berkuasa China telah merobohkan ribuan masjid di Xinjiang.
Memetik laporan AFP, badan pemikir itu dalam laporan terkini mengenai pencabulan hak asasi manusia di wilayah berkenaan menambah, lebih sejuta minoriti Islam Uighur dan komuniti berbahasa Turkic di barat daya China ditahan di ratusan kem, serta dipaksa meninggalkan segala pegangan keagamaan atau kebudayaan mereka.
Laporan ASPI yang berpandukan kepada imej rakaman satelit, mendapati sekurang-kurangnya 16,000 masjid dimusnahkan atau dirosakkan pihak berkuasa China.
Sebahagian besar pemusnahan itu berlaku tiga tahun lalu dengan anggaran 8,500 masjid musnah sepenuhnya.
Menurut laporan, kerosakan paling besar berlaku di kawasan bandar, seperti Urumqi dan Kashgar.
Banyak masjid lain yang terlepas daripada tindakan itu dipaksa merobohkan binaan kubah atau menara masing-masing dan akibatnya, kini hanya terdapat kurang daripada 15,500 masjid di sekitar Xinjiang.
Jika benar, ia adalah jumlah rumah ibadat Islam yang terendah pernah dicatatkan di rantau berkenaan sejak Revolusi Kebudayaan pada 1960-an.
Namun, tindakan serupa tidak diambil terhadap gereja atau kuil Buddha yang turut terdapat di serata Xinjiang.
Menurut ASPI, hampir satu pertiga tapak suci Islam di Xinjiang seperti makam, laluan jemaah dan tanah perkuburan turut menjadi mangsa.
Malah, tinjauan AFP pada tahun lalu melaporkan penemuan puluhan tanah perkuburan dimusnahkan, dengan cebisan mayat serta batu nisan berselerakan.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa China menegaskan penduduk Xinjiang diberi kebebasan sepenuhnya untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing.
Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, mendakwa terdapat kira-kira 24,000 masjid di sekitar Xinjiang iaitu jauh lebih banyak berbanding sesetengah negara Islam.