25 SEPT: Datuk Seri Idris Jusoh bukan salah seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwa menyokong ura-ura pembentukan kerajaan baharu di bawah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Besut itu berkata, beliau tidak pernah dihubungi dan tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.
“Saya menafikan dakwaan satu portal yang meletakkan nama saya sebagai salah seorang Ahli Parlimen BN yang menyokong Datuk Seri Anwar.
“Saya tidak pernah dihubungi dan tidak pernah membuat sebarang keputusan dalam menyokong Datuk Seri Anwar,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Semalam, sebuah portal mendakwa seramai 19 Ahli Parlimen BN menyokong komplot yang dirancang Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Selain Idris, Ahli-ahli Parlimen BN lain yang membuat penafian menyokong Anwar ialah Ramli Mohd Noor (Cameron Highlands), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit).