25 SEPT: UMNO masih tetap dengan pendirian bahawa tidak akan menyokong atau bekerjasama dengan mana-mana parti jika ada DAP dalam kerjasama itu serta keputusan itu dibuat secara ‘en bloc’.
Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum ini secara jelas menyatakan bahawa sokongan secara en bloc dan tidak akan bersama-sama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP.
Menurut beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dahulu juga pernah memberi arahan bahawa sesiapa yang tidak mematuhi kepada keputusan ini akan dipecat.
“Mereka yang tidak patuh kepada keputusan ini akan dipecat maka keputusan tersebut masih kekal melainkan mesyuarat MT UMNO membuat keputusan sebaliknya.
“Jadi, saya amat yakin tiada Ahli Parlimen UMNO yang terlibat ataupun menyatakan sokongan kepada Anwar.
“Sekejap dia cakap ada 10 nama, lepas itu naik 15 nama… lepas ini saya rasa naik 50 nama, lebih daripada bilangan Ahli Parlimen UMNO yang ada,” ujar beliau kepada media selepas program ramah mesra di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum, Sabah, semalam.
Ismail yang juga merupakan Menteri Kanan Pertahanan memberitahu, perkara ini adalah permainan politik Anwar bagi memecah-belahkan sesama UMNO dan rakan gabungan di Sabah.
“Jadi, kita jangan terperangkap dengan permainan dia. Ini semua ‘psy war’ sebab Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Saya yakin, tidak ada ahli Parlimen UMNO yang mahu menyokong Anwar. Saya sendiri telah bercakap dengan beberapa pemimpin UMNO yang dikatakan menyokong tapi semua menafikan,” jelasnya.
Setakat ini, lima Ahli Parlimen BN telah menegaskan tidak menyokong komplot Anwar menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli-ahli Parlimen BN terbabit ialah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Ramli Mohd Noor (Cameron Highlands), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit).